Pada 7 Julai 2022, bertempat di Pejabat Aman Palestin Cawangan Melaka di Ayer Keroh, wakil JASRA iaitu 9W2USM dan 9W2FRP telah diundang untuk memberikan taklimat kepada beberapa individu dari Kelab Perwira Malaysia, sebuah organisasi dibawah naungan Aman Palestin. Antara butiran taklimat yang diberikan ialah konsep asas gelombang radio khususnya band-band yang digunakan dalam radio amatur, konsep antenna, frequensi dan pelbagai perkongsian pengalaman didalam aktiviti radio amatur yang juga dapat dimanfaatkan semasa komunikasi kecemasan semasa bencana alam dan sebagainya.
Mereka yang menghadiri taklimat tersebut telah pun lulus ujian berkomputer radio amatur dan didalam proses mendapatkan callsign. Taklimat juga diberikan terhadap frekuensi Citizen Band atau Jalur Rakyat yang juga boleh digunakan apabila keadaan memerlukan. Peluang berkongsi pengalaman dan berbincang dan bersoal jawab dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas terhadap radio amatur atau secara umumnya komunikasi menggunakan radio frekuensi.
Adalah difahamkan Kelab Perwira Malaysia yang majoriti ahlinya dikalangan belia-belia banyak menganjurkan aktiviti sukarela dan kemasyarakatan dan mereka ingin mendalami pengetahuan perhubungan menggunakan radio frekuensi pada ketika dan suasana memberikan bantuan kepada yang memerlukan semasa bencana alam seperti banjir. Kelab Perwira Malaysia merupakan sebuah badan yang menjalankan aktiviti berteraskan pembentukkan jati diri, professionalisma,patriotisma dan berdisplin dan berkemahiran tinggi.
Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk memberikan sedikit pendedahan dan perkongsian pengalaman. Semoga taklimat dan penerangan yang diberikan memberikan inspirasi.