Aktiviti My Simulated Emergency Test (MySet) JASRA bersama dengan RELA Daerah Johor Bahru

JASRA menyokong dan akan bekerjasama dengan RELA Daerah Johor Bahru untuk menganjurkan aktiviti Simulated Emergency Test atau lebih dikenali dengan nama MySET, dirancangkan pada pertengahan bulan Ogos 2022. Hasil dari perbincangan pada 20 Julai 2022 dengan RELA Daerah Johor Bahru, Encik Norman, aktiviti komunikasi simulasi kecemasan ini akan melibatkan anggota RELA yang telah lulus Ujian RAE (Radio Amateur Examination) sebagai latihan kemahiran komunikasi secara SIMPLEX diantara PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana), PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah), PKON (Pusat Kawalan Operasi Negeri) yang berpandukan sepenuhnya kepada Arahan No 20, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara.

Sebagai permulaan, aktiviti ini akan menumpukan penggunaan Radio VHF sebagai pendedahan awal dengan hanya menggunakan kuasa bateri atau generator sahaja. Komunikasi menggunakan radio HF juga akan dilaksanakan sebagai demonstrasi. Antara tujuannya adalah seperti berikut:

a. Menentukan kesiapsiagaan (awareness) di kalangan anggota RELA untuk memastikan peralatan komunikasi masing-masing berfungsi dengan baik dan cukup lengkap dengan keupayaan yang maksimum. Contohnya, kebergantungan komunikasi hanya menggunakan Handy Talkie dan repeater tidak akan membantu untuk komunikasi jarak jauh sekiranya repeater gagal berfungsi semasa kejadian bencana.

b. Memberi kesedaran betapa mustahaknya mempunyai sumber bekalan kuasa alternatif dari janakuasa elektrik atau solar panel. Bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik komersial yang mungkin akan terputus untuk tempoh tertentu akibat musibah bencana alam akan menimbulkan pelbagai kesusahan diluar jangka sekiranya tanpa alternatif dan langkah berjaga-jaga.

c. Memberi kesedaran betapa mustahaknya komunikasi menggunakan Radio Frequency secara simplex sama ada dalam VHF, UHF atau HF bersesuaian mengikut keadaan dan situasi, umpamanya dalam suasana propagation yang kurang baik, radio HF dalam mode voice mungkin tidak mengizinkan dan oleh itu alternatif dalam mode digital perlu dipergunakan. Alternatifnya komunikasi menggunakan VHF dalam Mode FM Voice boleh dilakukan untuk jarak yang jauh sekiranya semua stesen mempunyai peralatan yang cukup dan memuaskan, umpamanya menggunakan antenna base station dan feeder cable yang berkualiti tinggi, di samping ketinggian yang maksima untuk mendapatkan Line of Sight yang memuaskan.

Pihak pengurusan dan keluarga besar JASRA sangat menyokong usaha ini dan sangat berbangga dengan komitmen yang diberikan oleh semua pihak, khususnya RELA Johor dan penggiat radio amatur dari JASRA sendiri.

Admin