Liputan National Field Day 2019


Video Youtube. Sebahagian dari video aktiviti NFD 2019 di beberapa lokasi seluruh negara.

Akhirnya National Field Day (NFD) 2019 (Hari Lapangan Kebangsaan) yang telah dianjurkan pada 15 dan 16 September 2019 telah selesai dilaksanakan. Pada tahun ini, NFD 2019 dilaksanakan dalam time frame 2 hari, bermula jam 8 pagi 15 September dan berakhir pada jam 12 malam pada 16 September.


Gambar: AKRAB di Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan dan PRAPB di Jeram Bangkin, Kg Dong Raub, Pahang.

Konsep

Aktiviti ini yang dianjurkan setiap tahun bersempena Hari Malaysia pada 16 September mengambil model National Field Day ARRL yang disesuaikan dan diadaptasikan mengikut kesesuaian di negara kita. Seperti yang sedia diketahui, konsep NFD tidak melibatkan sebarang aktiviti pertandingan atau contest, namun lebih menjurus kepada aktiviti radio yang santai secara ‘outdoor‘ sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan. Oleh itu, kawasan hutan berhampiran air terjun, road track pacuan empat roda di hutan, kawasan perkelahan di tepi pantai atau mana-mana tempat yang bersesuaian yang menjadi pilihan.


Gambar: Terengganu DX Club di Taman Rekreasi Pulau Kekabu, Marang, Terengganu.

Aktiviti sebegini sudah tentunya mengeratkan persahabatan atau bonding sesama rakan dan keluarga. Disamping aktiviti radio, aktiviti memasak atau BBQ pastinya sangat menarik. Selain dari itu, ada juga yang mengambil kesempatan dengan menggabungkan aktiviti NFD dengan event radio amatur tertentu seperti pameran, eyeball dan lain-lain.

Penyertaan NFD 2019

Berdasarkan kepada pendaftaran melalui website NFD, sebanyak 16 penyertaan kategori persatuan/kelab  dan individu dari seluruh negara mengambil bahagian dalam NFD tahun ini.


Gambar: Penang DX Club di SK Berapit, Bukit Mertajam Pullau Pinang dan Selangor DX Club di Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Selangor

Namun difahamkan ada kelab @ individu yang mengambil bahagian dalam NFD tetapi tidak membuat pendaftaran di website National Field Day agar QTH mereka dapat direkodkan didalam peta Field Day Locator. Walau apa pun, perkara tersebut tidaklah menjadi masalah yang besar, atas semangat radio amatur, aktiviti tetap dilaksanakan dalam memeriahkan NFD pada tahun ini.

Melalui Whatsapp Group NFD 2019, kesemua stesen berpeluang untuk berkongsi gambar-gambar aktiviti di lokasi masing-masing. Begitu juga rakaman video QSO dengan stesen NFD yang lain. MARL selaku penganjur telah berjaya menyatukan semua video berkenaan sebagai tanda kenangan dan dapat dimuat naik di Youtube Channel MARL.


Gambar: PARTS di Pantai Remis, Lumut, Perak dan Kulai DX Club di Taman Kulai, Johor

Satu perkara yang menarik disini ialah kesungguhan dan minat stesen-stesen yang menyertai sangat dipuji dan disanjung tinggi dimana masing-masing bersiap sedia dengan peralatan masing-masing terutama kelengkapan komunikasi di dalam jalopy 4 x 4 yang dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan untuk diatur gerak ke kawasan bencana atau apa-apa musibah yang mana perkhidmatan komunikasi dari penggiat radio amatur diperlukan. Umpamanya KL DX Team, Selangor DX Cub dan Terengganu DX Club yang melengkapkan jalopy 4 x 4 masing–masing dengan kelengkapan komunikasi yang sewajarnya, stand alone power source dari bateri atau generator.


Gambar: KL DX Team di Hutan Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor dan Jebat DX Club (JASRA Melaka) di Pantai Klebang, Melaka

Jelas bahawa semua stesen yang terlibat menyedari kepentingan dan mustahaknya menyediakan dan mempersiapkan peralatan radio, antenna dan keupayaan tidak bergantung dari sumber kuasa komersial, sebaliknya menggunakan bateri dan generator. Aktiviti ini juga memberikan peluang kepada penggiat dan aktivis radio amatur menguji cuba pelbagai jenis antenna High Frequency, dari long wire dipole, Yagi tubing antenna, End Fed Half Wave antenna dan berbagai jenis lagi antenna yang dipergunakan.


Gambar: KERAB di Kompleks Rakan Muda, Bera, Pahang dan REDS di Pantai Mukah, Sarawak.

CQ DX kepada stesen yang jauh di luar negara menjadi aktiviti yang menarik apabila propagasi mendokong. Namun propagasi yang baik tidak menyebelahi pada kali ini, suasana dan situasi propagasi semasa NFD kali ini tidaklah begitu menyokong pada sebilang masa. Walau apa pun, komunikasi antara stesen-stesen masih dapat dilaksanakan pada waktu-waktu tertentu dan berjaya di rekodkan dalam buku log masing-masing.

MARL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua stesen yang terlibat dalam NFD 2019 pada tahun ini. Adalah diharapkan lebih banyak stesen sama ada dari persatuan atau kelab atau individu akan menyertai acara tahunan ini ditahun hadapan.