Berlanjutan dari senario cuaca semasa dimana Monsun Timur Laut hampir tiba, JASRA telah mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mendapatkan seberapa ramai sukarelawan EDCRT (Emergency Disaster Communication Response Team) dari seluruh pelusuk Daerah di Negeri Johor dan Melaka. Untuk maklumat, Biro EDCRT JASRA telah ditubuhkan sejak 2015 berlanjutan dari resolusi Konvensyen Radio Amatur Malaysia yang diadakan di UTM Skudai. Kempen yang dilaksanakan melalui pendaftaran online dan dihebahkan melalui media sosial setakat ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari rakan-rakan radio amatur dan SWL.
Sesungguhnya tujuan murni ini adalah untuk mengumpulkan maklumat sukarelawan yang benar-benar ikhlas dan secara sukarela memberikan khidmat baktinya kepada komuniti dan masyarakat, oleh itu ditekankan bahawa tuan-tuan perlu mendaftar sendiri secara online dengan mengisikan butir-butir yang dikehendaki. Untuk maklumat juga, JASRA hanyalah sebagai sebuah organisasi yang mengkoordinasi dan menguruskan hal-hal sukarelawan dari aspek pentadbiran dan penugasan dilapangan apabila diperlukan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tiada callsign, daftarlah sebagai SWL dan tidak ada syarat sukarelawan semestinya ahli JASRA. Sesiapa boleh mendaftar.
Sukacita diingatkan bahawa rakan-rakan sukarelawan yang berhati mulia dengan penuh keihlasan ingin memberikan khidmat bakti sekiranya diperlukan nanti haruslah bersedia dengan peralatan komunikasi yang lengkap sama ada radio VHF, UHF, dual band VHF/UHF atau radio HF. Begitu juga dengan bekalan makanan, pakaian dan alat kelengkapan lain yang berkaitan.
Dalam suasana bencana alam, senario terburuk haruslah difikirkan apabila semua bentuk komunikasi komersial gagal berfungsi apabila menara komunikasi komersial terputus bekalan kuasa elektrik akibat banjir besar umpamanya, repeater yang menggunakan kuasa solar gagal berfungsi apabila hujan terus menerus tanpa cahaya matahari contohnya. Dalam senario VHF FM Mode, ini bermaksud komunikasi yang ada ialah secara simplex one to one dan menggunakan kaedah relay dari stesen ke stesen hingga sampai ke tujuan. Oleh itu, sama-samalah difikirkan keupayaan peralatan komunikasi masing-masing yang seharusnya menggunakan antenna base station yang reliable, feeder cable yang berkualiti dan diketinggian antenna yang maksimum. Selain dari itu, komunikasi simplex menggunakan radio HF tetap perlu dipergunakan dan juga bergantung kepada propagation semasa.
NADMA iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara baru-baru ini telah menganjurkan Taklimat Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2019 yang diadakan di Cyber Jaya. Bagi mereka yang tidak berpeluang menghadiri taklimat tersebut, silalah muat turun file pdf nya untuk maklumat yang lebih terperinci.
Sebanyak empat agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana telah menyediakan taklimat iaitu (sila klik imej untuk memuat turun taklimat dalam file pdf)
Taklimat oleh NADMA
Taklimat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia
Taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran
Taklimat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
Selain dari itu, silalah muat turun Arahan No 20, (Semakan Semula) Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan MARL- Malaysian Simulated Emergency Test sebagai panduan dan bahan bacaan untuk mendapatkan kefahaman yang jelas.
Mudah-mudahan seluruh rakan dalam keluarga besar JASRA akan dapat membuat pembacaan untuk kefahaman dan maklumat terperinci. End.