Liputan Karnival Minggu Sains Malaysia 2019, MITC Melaka

Selesai sudah acara Karnival Minggu Sains Malaysia 2019 yang dilaksanakan di MITC, Melaka bermula 15 hingga 17 Ogos 2019. Acara yang sepertinya setiap tahun dianjurkan ini menarik minat ramai orang, lebih-lebih lagi dilaksanakan diwaktu cuti sekolah dimana pelbagai acara dilaksanakan yang berkonsepkan sains, teknologi dan perkara lain berkaitan dengannya. Rakan-rakan Radio Amatur telah diperuntukan satu booth untuk mempamerkan peralatan dan peluang sebegini adalah salah satu cara mempromosikan aktiviti dan hobi Radio Amatur kepada orang ramai. Penyertaan sukarelawan dari rakan radio amatur sendiri yang merupakan satu pengorbanan dari segi masa dan tenaga sangat-sangat dihargai dan disanjung tinggi.

 

 

Berbanding dengan tahun lalu yang diadakan di Perpustakaan Melaka pada 4 dan 5 April 2018, di kedudukan luar bangunan yang panas, kali ini dalam keadaan yang amat selesa di dalam dewan MITC yang berhawa dingin. Sekali lagi, berdasarkan Science Technology Engineering Maths (STEM), penyertaan Radio Amatur memfokuskan kepada Amateur Radio Satellite (AMSAT), selain dari itu, disediakan juga radio untuk komunikasi ke repeater UHF 9M4RML Bukit Beruang yang di crossband kan ke repeater VHF 9M4RLD Gunung Ledang.

Seperti tahun yang lalu, rotator yang dipasang dengan antenna Yagi VHF dan antenna Yagi dual band UHF + VHF telah ditunjukkan. Rotator yang dilengkapi dengan azimuth dan elevation ini dikawal sepenuhnya oleh komputer yang telah dipasang dengan perisian Sateliite Tracker. Rotator Controller dikawal selia oleh computer interface yang tersambung ke communication port di komputer. Sangat menarik apabila perisian yang dipasang bernama Gpredict ini berupaya membuat penjejakan satelit secara langsung (real time) dan menjejaki orbit. Perisian ini berupaya memaparkan mana-mana satelit radio amatur yang akan melalui kawasan kita berdasarkan kepada footprint yang ditunjukkan. Selain itu, memberikan maklumat mode yang digunakan dan frequensi uplink dan downlink.

Pengunjung-pengunjung sangat teruja apabila diberi penerangan tentang keupayaan rotator ini mengikuti jejak satelit dari ufuk ke ufuk. Oleh kerana berada di dalam dewan dibawah bumbung, demonstasi QSO ke satelit tidak dapat dilaksanakan, walaupun begitu QSO ke repeater berjalan dengan lancar. Selain itu, pengunjung berpeluang bertanyakan dengan rakan-rakan sukarelawan tentang apa itu radio amatur sebenarnya dan apa yang dilakukan oleh pengamal radio amatur, serta bagaimana untuk mendapatkan lesennya.

Karnival ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Hj Adly Zahari dan sempat mengunjungi booth Radio Amatur dan diberi penerangan sedikit sebanyak tentang peralatan yang ada. Selain dari itu, agensi kerajaan lain juga turut mempamerkan peralatan mereka seperti Jabatan Kaji Cuaca, Alam Sekitar, DRB HICOM, ANGKASA, IPTA dan IPTS selain dari penjualan alat robotic dengan arduino.

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih diberikan kepada sukarelawan yang menyertai acara tersebut. Antara yang menghadirkan diri sebagai sukarelawan dan membawa peralatan ialah 9M2DA, 9W2USM, 9M2VBC, 9M2YOT, 9M2ESM, 9W2FRP, 9W2SGJ, 9W2FXG, KN4KDO, 9W2MBD. Mudah-mudahan dengan aktiviti sebegini akan memberikan banyak ilmu, pengetahuan, pengalaman dan pengajaran kepada rakan-rakan radio amatur. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada ANGKASA yang telah memberi peluang kepada Radio Amatur dengan memperuntukan booth pameran. Terima kasih juga kepada MARTS dan JASRA.